Monday, May 30, 2011

Saya Neon

Saya terpanggil untuk membuat satu blog yang baru bila dimaklumkan oleh sahabat saya En Kumprinx bahawa saya perlu membayar RM130 untuk memperbaharui www.ammosham.com.

Saya jadi malas dan kecewa dengan hal ini. Saya jadi menyampah dengan kapitalisme kerana saya perlu membayar sewa RM130 setahun demi satu blog yang menjadi tempat saya meluahkan perasaan. Mengapa perlu bayar sedangkan saya boleh meluahkan perasaan saya secara percuma di Internet?

Saya bukan seorang yang berseni tapi saya pikir saya mempunyai kekuatan dalam penguasaan Bahasa Melayu lebih-lebih lagi dalam hal penulisan. Sejak kecil saya telah didedahkan dengan begitu banyak sekali bacaan dalam Bahasa Melayu Rumi.

Saya pernah terfikir untuk menjadi seorang ahli muzik tetapi setelah mencuba banyak kali untuk bermain gitar saya ternyata tidak diberi peluang untuk menyelami kreativiti dalam hal muzikal. Saya gagal dalam hal itu.

Maka saya fikir penulisan atau luahan perasaan secara kreatif dalam blog merupakan salah satu cara bagi saya untuk menjadi seorang seniman. Namun saya rasa saya gagal menjadi seorang seniman atau budayawan kerana saya kurang faham tentang makna seni sebenarnya. Adakah orang seni itu orang yang lain daripada orang lain?

Ramai juga yang sangat tidak faham dengan ammosham.com. Saya sebenarnya tidak faham juga apa yang saya tuliskan itu. Saya menulis kerana mahu menulis kerana saya fikir bahawa saya boleh berkongsi persepsi saya terhadap sesuatu perkara dengan anda semua kerana bagi saya kelainan persepsi itu menjadi dunia ini berwarna-warni dan menarik untuk kita tinggal.

Saya selalu berdoa kepada Tuhan Yang Esa agar penulisan saya didalam ammosham.com dan juga blog ini tidak dicemari dengan perkara-perkara jahat seperti perkauman, mengutuk gender lain atau berbau kebencian terhadap agama yang lain. Namun yang demikian saya masih lagi berada dalam kesamaran apabila membincangkan tentang situasi keinginan seksual individu terhadap sesama jantina atau binatang. Maaf, saya gagal untuk gagah untuk menjuarai bidang itu.

" Saya Neon " merupakan satu blog peribadi saya dimana saya berusaha dengan begitu gigih sekali untuk membentangkan pandangan saya terhadap isu-isu semasa dengan lebih sopan, serius dan yang lebih penting untuk tidak menyakiti hati dan perasaan orang lain yang terasa dengan penulisan saya didalam ammosham.com.

Saya percaya pada satu hari nanti, jika ada keinginan luar biasa dalam membukukan penulisan dalam ammosham.com, saya akan memaklumkan kepada anda.

Saya Neon kerana saya adalah lampu-lampu malam.

No comments:

Post a Comment