Tuesday, May 31, 2011

Politik Rumah Murah



Sejak kecil saya amat meminati politik Malaysia. Saya dibesarkan dalam suasana sekeliling atau persekitaran dimana penduduknya melihat politik sebagai satu perkara yang sangat penting dalam hidup mereka. Namun yang demikian saya juga melihat ayah saya yang merupakan seorang anggota polis dalam Cawangan Khas (SB) sebagai seorang individu yang telah melahirkan minat saya terhadap politik.

Apa yang saya coretkan ini merupakan satu persepsi yang lahir dari pengalaman saya hidup dalam sebuah masyarakat marhain di Malaysia. Tuan Puan yang membaca blog ini mempunyai pilihan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang saya catatkan di sini.

Salah satu cara untuk memastikan orang besar negara untuk menang dalam pilihanraya ialah di kawasan mereka mesti mempunyai Kem Askar atau satu kawasan penempatan rumah murah. Rumah Murah sinomin di panggil Perumahan Awam Kos Rendan, Rumah Pangsa, Flat Murah atau nama yang agak canggih pada masa sekarang iaitu Kondo Rakyat. Rata-rata penduduknya merupakan golongan kebanyakan yang berkerja sebagai kakitangan rendah dalam perkhidmatan awam, pemandu teksi, bekas pesara askar, pekerja kilang, kontraktor kelas F yang nyawa-nyawa ikan dan mungkin juga rumah yang disewakan kepada penuntut atau pelajar kolej kemahiran.

Memiliki rumah merupakan satu impian setiap manusia yang berkeluarga pada hari ni. Sama ada mereka berpendapatan tinggi atau rendah, memiliki rumah merupakan satu keperluan asas dalam kehidupan.

Bagi golongan berpendapatan rendah yang bergaji sekitar RM 950 pada tahun 1990 memiliki rumah murah menjadi satu keinginan besar dalam hidup mereka. Ayah saya yang merupakan anggota kerajaan pangkat rendah dalam perkhidmatan awam sangat bersyukur kerana beliau berjaya memilik sebuah rumah flat 2 bilik di bawah Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) yang kini dikenali dengan nama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang. Rumah yang kami miliki dibayar ansuran sebanyak RM 78 sebulan.

Kesyukuran ini diterjemaahkan melalui tindakan-tindakan yang berbentuk sangat politik apabila hampir seluruh penduduk Flat Tempoyang menyokong parti yang memerintah pada masa itu iaitu Barisan Nasional. Saya melihat kedudukan UMNO pada masa itu sangat kukuh di Flat Tempoyang berbanding Parti Semangat 46.

Sehingga ke hari ini saya sangat teruja dengan kesetiaan sokongan penduduk Rumah Murah terhadap parti yang memerintah berbanding penduduk kawasan elit dan juga kawasan-kawasan yang diduduki oleh golongan kelas menengah. Kesetiaan mereka (yakni golongan kelas menengah) ini sangat diragui. Adakah mereka kekal untuk setia bersama kerajaan yang memerintah atau terpalit kemarahan mereka untuk mengundi pembangkang dalam pilihanraya akan datang?

Tidakkah mereka sudah merasai keselesaan hidup sehingga mereka tidak ambik peduli dengan keadaan politik masa kini? Benarkah golongan ini lebih kerap bersungguh terhadap sesuatu isu dan lebih banyak bercakap dari melakukan sesuatu?

Masyarakat marhain yang menghuni di kawasan rumah murah ini boleh dianggap sebagai satu kelompok yang mewarisi semangat feudal bangsa Melayu yang terkenal dengan kesetian mereka terhadap Raja. Dalam hal ini tidak dapat kita nafikan bahawa dalam ruang lingkup politik moden pada hari ini, mempunyai pengaruh yang sangat banyak di kawasan rumah murah akan memberi kesan dalam pilihanraya kerana mereka mempunyai undi yang sangat ramai.

Saya masih berfikir dan bertanya kenapa sokongan daripada masyarakat rumah murah kepada parti yang memerintah ini sentiasa berterusan. Adakah kerana budi? Adakah kerana mentaliti pendidikan? Adakah kerana mereka kroni parti atau adakah kerana mereka benar-benar bersyukur kerana kehidupan yang susah dulunya kini telah berubah.

Saya fikir ianya sangat penting untuk di kaji. Sebab apa dan mengapa mereka di pandang mulia di hari pilihanraya dan sebab apa dan mengapa kekadang mereka tidak dipedulikan selepas pilihnaraya.

Rakyat yang perlu merdeka!

No comments:

Post a Comment