Tuesday, May 31, 2011

Politik Rumah Murah



Sejak kecil saya amat meminati politik Malaysia. Saya dibesarkan dalam suasana sekeliling atau persekitaran dimana penduduknya melihat politik sebagai satu perkara yang sangat penting dalam hidup mereka. Namun yang demikian saya juga melihat ayah saya yang merupakan seorang anggota polis dalam Cawangan Khas (SB) sebagai seorang individu yang telah melahirkan minat saya terhadap politik.

Apa yang saya coretkan ini merupakan satu persepsi yang lahir dari pengalaman saya hidup dalam sebuah masyarakat marhain di Malaysia. Tuan Puan yang membaca blog ini mempunyai pilihan sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan apa yang saya catatkan di sini.

Salah satu cara untuk memastikan orang besar negara untuk menang dalam pilihanraya ialah di kawasan mereka mesti mempunyai Kem Askar atau satu kawasan penempatan rumah murah. Rumah Murah sinomin di panggil Perumahan Awam Kos Rendan, Rumah Pangsa, Flat Murah atau nama yang agak canggih pada masa sekarang iaitu Kondo Rakyat. Rata-rata penduduknya merupakan golongan kebanyakan yang berkerja sebagai kakitangan rendah dalam perkhidmatan awam, pemandu teksi, bekas pesara askar, pekerja kilang, kontraktor kelas F yang nyawa-nyawa ikan dan mungkin juga rumah yang disewakan kepada penuntut atau pelajar kolej kemahiran.

Memiliki rumah merupakan satu impian setiap manusia yang berkeluarga pada hari ni. Sama ada mereka berpendapatan tinggi atau rendah, memiliki rumah merupakan satu keperluan asas dalam kehidupan.

Bagi golongan berpendapatan rendah yang bergaji sekitar RM 950 pada tahun 1990 memiliki rumah murah menjadi satu keinginan besar dalam hidup mereka. Ayah saya yang merupakan anggota kerajaan pangkat rendah dalam perkhidmatan awam sangat bersyukur kerana beliau berjaya memilik sebuah rumah flat 2 bilik di bawah Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) yang kini dikenali dengan nama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang. Rumah yang kami miliki dibayar ansuran sebanyak RM 78 sebulan.

Kesyukuran ini diterjemaahkan melalui tindakan-tindakan yang berbentuk sangat politik apabila hampir seluruh penduduk Flat Tempoyang menyokong parti yang memerintah pada masa itu iaitu Barisan Nasional. Saya melihat kedudukan UMNO pada masa itu sangat kukuh di Flat Tempoyang berbanding Parti Semangat 46.

Sehingga ke hari ini saya sangat teruja dengan kesetiaan sokongan penduduk Rumah Murah terhadap parti yang memerintah berbanding penduduk kawasan elit dan juga kawasan-kawasan yang diduduki oleh golongan kelas menengah. Kesetiaan mereka (yakni golongan kelas menengah) ini sangat diragui. Adakah mereka kekal untuk setia bersama kerajaan yang memerintah atau terpalit kemarahan mereka untuk mengundi pembangkang dalam pilihanraya akan datang?

Tidakkah mereka sudah merasai keselesaan hidup sehingga mereka tidak ambik peduli dengan keadaan politik masa kini? Benarkah golongan ini lebih kerap bersungguh terhadap sesuatu isu dan lebih banyak bercakap dari melakukan sesuatu?

Masyarakat marhain yang menghuni di kawasan rumah murah ini boleh dianggap sebagai satu kelompok yang mewarisi semangat feudal bangsa Melayu yang terkenal dengan kesetian mereka terhadap Raja. Dalam hal ini tidak dapat kita nafikan bahawa dalam ruang lingkup politik moden pada hari ini, mempunyai pengaruh yang sangat banyak di kawasan rumah murah akan memberi kesan dalam pilihanraya kerana mereka mempunyai undi yang sangat ramai.

Saya masih berfikir dan bertanya kenapa sokongan daripada masyarakat rumah murah kepada parti yang memerintah ini sentiasa berterusan. Adakah kerana budi? Adakah kerana mentaliti pendidikan? Adakah kerana mereka kroni parti atau adakah kerana mereka benar-benar bersyukur kerana kehidupan yang susah dulunya kini telah berubah.

Saya fikir ianya sangat penting untuk di kaji. Sebab apa dan mengapa mereka di pandang mulia di hari pilihanraya dan sebab apa dan mengapa kekadang mereka tidak dipedulikan selepas pilihnaraya.

Rakyat yang perlu merdeka!

Hidup Ini Bukan Rahsia



Saya percaya bahawa perjalanan hidup ini bukan satu rahsia. " Lahir - Hidup - Mati " merupakan satu perjalanan yang seharusnya kita tahu dan memahaminya. Setiap manusia yang beriman atau tidak beriman dengan kehidupan seharusnya sangat memahami tentang hidup ini.

Saya memahami tentang hidup ini apabila saya melihat kucing kesayangan saya yang bernama Timah yang saya bela di Flat Tempoyang mati dalam keadaan yang penuh dengan rasa kesunyian. Saya juga memahami kehidupan ini ada jalan akhirnya apabila saya melihat kawan India saya yang duduk di Blok B, Flat Tempoyang mati dalam keadaan menyayat hati dan saya melihat keadaan yang begitu menyedihkan hati saya di hari upacara pengebumian beliau.

Saya juga amat memahami kehidupan ini apabila saya melihat Hedonisme itu bukan merupakan satu jalan yang "seronok" tetapi satu "keseronokan yang membebalkan hati dan perasaan".

Saya juga faham dengan kehidupan ini apabila kebebasan itu bukan satu jalan yang "benar" dalam kehidupan. Saya makin keliru antara "keadilan", "kesamarataan " dan " kebebasan". Saya faham tentang hal ini kerana keliru itu adalah punca kebenaran.

Hidup ini bukan lagi satu rahsia apabila saya dan anda, kamu dan juga mereka mampu melihat agama itu sebagai satu sumber kebenaran. Cerita-cerita tentang "kehidupan lalu" dan juga "kehidupan akan datang" dari Kitab-Kitab Suci mungkin menjadikan satu pedoman dalam kehidupan aku, kamu atau anda dan mereka jua.

Hidup ini bukan rahsia lagi oleh kerana ada lampu-lampu yang menerangi hidup kamu dimalam hari tapi didalam jiwa kamu itu ada kekeliruan hati dimana satu hari nanti kamu akan melihat kebenaran nun jauh dihujung jalan yang kamu lalui.

Monday, May 30, 2011

Saya Neon

Saya terpanggil untuk membuat satu blog yang baru bila dimaklumkan oleh sahabat saya En Kumprinx bahawa saya perlu membayar RM130 untuk memperbaharui www.ammosham.com.

Saya jadi malas dan kecewa dengan hal ini. Saya jadi menyampah dengan kapitalisme kerana saya perlu membayar sewa RM130 setahun demi satu blog yang menjadi tempat saya meluahkan perasaan. Mengapa perlu bayar sedangkan saya boleh meluahkan perasaan saya secara percuma di Internet?

Saya bukan seorang yang berseni tapi saya pikir saya mempunyai kekuatan dalam penguasaan Bahasa Melayu lebih-lebih lagi dalam hal penulisan. Sejak kecil saya telah didedahkan dengan begitu banyak sekali bacaan dalam Bahasa Melayu Rumi.

Saya pernah terfikir untuk menjadi seorang ahli muzik tetapi setelah mencuba banyak kali untuk bermain gitar saya ternyata tidak diberi peluang untuk menyelami kreativiti dalam hal muzikal. Saya gagal dalam hal itu.

Maka saya fikir penulisan atau luahan perasaan secara kreatif dalam blog merupakan salah satu cara bagi saya untuk menjadi seorang seniman. Namun saya rasa saya gagal menjadi seorang seniman atau budayawan kerana saya kurang faham tentang makna seni sebenarnya. Adakah orang seni itu orang yang lain daripada orang lain?

Ramai juga yang sangat tidak faham dengan ammosham.com. Saya sebenarnya tidak faham juga apa yang saya tuliskan itu. Saya menulis kerana mahu menulis kerana saya fikir bahawa saya boleh berkongsi persepsi saya terhadap sesuatu perkara dengan anda semua kerana bagi saya kelainan persepsi itu menjadi dunia ini berwarna-warni dan menarik untuk kita tinggal.

Saya selalu berdoa kepada Tuhan Yang Esa agar penulisan saya didalam ammosham.com dan juga blog ini tidak dicemari dengan perkara-perkara jahat seperti perkauman, mengutuk gender lain atau berbau kebencian terhadap agama yang lain. Namun yang demikian saya masih lagi berada dalam kesamaran apabila membincangkan tentang situasi keinginan seksual individu terhadap sesama jantina atau binatang. Maaf, saya gagal untuk gagah untuk menjuarai bidang itu.

" Saya Neon " merupakan satu blog peribadi saya dimana saya berusaha dengan begitu gigih sekali untuk membentangkan pandangan saya terhadap isu-isu semasa dengan lebih sopan, serius dan yang lebih penting untuk tidak menyakiti hati dan perasaan orang lain yang terasa dengan penulisan saya didalam ammosham.com.

Saya percaya pada satu hari nanti, jika ada keinginan luar biasa dalam membukukan penulisan dalam ammosham.com, saya akan memaklumkan kepada anda.

Saya Neon kerana saya adalah lampu-lampu malam.